Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

KPJ YAKIN KEKAL HASIL RM1 BILION BAGI 2008

Berita Harian - KPJ Healthecare Bhd (KPJ), penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbesar tempatan, yakin dapat mengekalkan pendapatan melebihi RM1 bilion bagi tahun kewangan 2008, walaupun berdepan

01-12-2008

KPJ Healthecare Bhd (KPJ), penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbesar tempatan, yakin dapat mengekalkan pendapatan melebihi RM1 bilion bagi tahun kewangan 2008, walaupun berdepan krisis kewangan global.
Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata keputusan berkenaan sekali gus bakal mengulangi pencapaian tahun lalu, paling cemerlang dalam sejarah 26 tahun kumpulan itu.

“Tahun ini kami menjangkakan pendapatan syarikat akan bertambah lagi. Keyakinan kami bersandar penambahan hospital baru seperti di Taiping pada tahun lalu, dan di Kluang pada tahun ini yang tidak termasuk dalam pendapatan 2007.

“Walaupun berlaku kelembapan ekonomi ketika ini, kami yakin penjagaan kesihatan adalah satu industri cukup penting dan masyarakat dijangka terus berbelanja pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perubatan Tahunan KPJ Healthcare di Johor Bahru, semalam.

Tahun lalu, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) itu mengumumkan pendapatannya meningkat 33 peratus kepada RM1.108 bilion daripada RM831.5 juta pada 2006.

Pada masa ini, KPJ mentadbir dan menguruskan 25 hospital, dengan 19 hospital di negara ini manakala tiga di Indonesia, dua di Jeddah, Arab Saudi dan satu di Dhaka, Bangladesh.

Muhammad Ali menambah, KPJ turut merancang membuka dua hospital tahun depan, dalam usaha mengembangkan lagi pembabitan syarikat itu dalam bidang pelaburan hartanah.

Katanya, lokasi hospital berkenaan ialah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang kini dalam proses akhir kerja pembinaannya.

“Hospital Pakar KPJ Penang yang terletak di Seberang Perai dijangka mula beroperasi Mac depan manakala Hospital Pakar Tawakal di Kuala Lumpur, selewat-lewatnya pertengahan 2009.

“Jumlah pelaburan bagi kedua-dua hospital terbabit mencecah RM200 juta dan ia diramal mampu membawa perubahan besar kepada kumpulan melalui tahap kualiti tinggi berdasarkan pembinaannya bukan lagi di rumah kedai,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan hospital baru berkenaan dibiayai Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) Al- Aqar KPJ (REIT Al-Aqar) supaya pelaburan yang dilakukan syarikat dapat ditebus kembali dengan cepat.

Katanya, Reit Al-Aqar bakal melepasi sasaran saiz keseluruhan aset bernilai RM1 bilion tidak lama lagi menerusi pembelian aset daripada KPJ Healthcare.

Al-Aqar adalah Reit Penjagaan Kesihatan Islam pertama di Malaysia dan juga satu daripada dua Reit Islam di negara ini.



BACK