Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2016 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

TUBUH KLINIK WAQAF KEDUA DI SARAWAK

Utusan Malaysia - KUCHING 11 Mac - KPJ Healthcare Berhad bercadang menubuhkan sebuah lagi klinik waqaf kedua di negeri ini selepas klinik yang pertama mendapat sambutan menggalakkan.

12-03-2009

Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, klinik waqaf kedua itu akan dibina di Bandar Baru Semariang dan dijangka beroperasi pada suku tahun ketiga tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi KPJ Healthcare Berhad berkata, pembukaan klinik tersebut akan disusuli dengan penubuhan pusat dialisis kedua selepas Klinik Waqaf An-Nur dan pusat dialisis di Jalan haji Taha di sini.

''Klinik waqaf ini menyediakan perkhidmatan asas kepada pesakit yang memerlukan khidmat nasihat dan rawatan perubatan asas tanpa mengira kaum dan agama dengan bayaran hanya RM5 sekali rawatan termasuk ubat-ubatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hospital Pakar Kuching KPJ di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datin Paduka Siti Sa'diah Sheikh Bakir.

Dalam pada itu, Muhammad Ali berkata, Hospital Pakar Kuching KPJ yang mula beroperasi dengan unit kemalangan dan kecemasan serta lima konsultan sejak 2004 telah berkembang apabila kini menyediakan wad orang kenamaan (VIP) di samping dilengkapi kemudahan serba moden.

Katanya, sehingga tahun lalu, hospital berkenaan telah merawat hampir 92,000 pesakit luar dan 5,100 pesakit untuk rawatan di wad.

Selain itu tambahnya, KPJ Healthcare Berhad turut berusaha mempromosikan pelancongan kesihatan di Kalimantan Barat menjadikan nama KPJ Healthcare semakin dikenali di wilayah Indonesia tersebut.

''Mengikut data, sejak tahun 2006 sehingga kini, Hospital Pakar Kuching KPJ telah merawat seramai 3,550 pesakit luar dan 260 pesakit dalam wad warga negara Indonesia,'' katanya.



BACK