Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

KPJ DIGESA KE NIGERIA

Utusan Malaysia - Berikutan kedudukan hospital-hospitalnya kekurangan kemudahan, Nigeria berminat menjalin usaha sama dengan kumpulan perubatan terkemuka Malaysia

11-05-2009

Berikutan kedudukan hospital-hospitalnya kekurangan kemudahan, Nigeria berminat menjalin usaha sama dengan kumpulan perubatan terkemuka Malaysia, KPJ Healthcare Bhd., bagi meningkatkan kemudahan perubatannya supaya bertaraf dunia.
Penolong Khas pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Nigeria, Muhammad Baba Kachalla berkata, di negara itu terdapat sekurang-kurangnya sebuah hospital awam di 36 negeri.
"Di Nigeria, ada hospital persekutuan dan negeri yang diurus oleh kerajaan, namun kebanyakan hospital berkenaan tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi.
"Oleh itu, saya meminta KPJ, jika mereka berminat, untuk menjalin usaha sama dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam membantu hospital mencapai piawaian dunia," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, jika kumpulan perubatan itu berminat, pertemuan akan diatur dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan cadang itu.
Dalam reaksi terhadap permintaan itu, Pengurus Besar Pembangunan (Antarabangsa) dan Pemasaran Kumpulan KPJ, Aminuddin Dawam berkata, syarikat itu mungkin menimbang cadangan usahasama itu.
"Mereka menawarkan KPJ supaya memasuki negara itu. Kami terbuka mengenainya," katanya.
Beliau berkata, KPJ juga menerima cadangan daripada hospital swasta, Giwa Hospital di Kaduna, Nigeria, bagi mengurus hospital itu.
"Dan (Giwa Hospital) mungkin mencetuskan minat kami kerana ia mengurus hospital (swasta) berbanding mengurus hospital kerajaan yang kepakarannya tidak dimiliki oleh KPJ. Namun, kami sedia mengkajinya," katanya.
Aminuddin berkata, syarikat itu juga mungkin mengambil masa enam bulan untuk mengkajinya sebelum membuat keputusan berkenaan.
Mengenai pelan peluasan kumpulan itu, beliau berkata, pihaknya berminat memperkukuh kehadirannya di Arab Saudi menerusi usaha sama.
Pada masa ini, KPJ mengurus dua hospital di Jeddah.
Beliau berkata, pihaknya akan menandatangani perjanjian usahasama dengan sebuah syarikat tempatan dalam tempoh terdekat.
"Pangkalan kami di Malaysia sudah kukuh dan kami kini berusaha untuk mewujudkan pangkalan di Arab Saudi. Oleh itu, adalah lebih mudah untuk kami meluaskan perkhidmatan di Timur Tengah," katanya.
Menerusi 19 hospital di Malaysia, KPJ Healthcare merancang mempunyai sekurang-kurangnya satu hospital baru dalam negara, setiap tahun.
"Kami sedang meninjau beberapa kawasan dan sudah berunding dengan pihak yang berminat. Ia mungkin pengambilan alih atau projek baru." Aminuddin berkata, syarikat itu juga menerima banyak tawaran dari Myanmar dan Thailand namun memandangkan keadaan politik di sana, KPJ masih memantau rapat negara-negara itu.
KPJ juga mempunyai tiga hospital di Indonesia dan sebuah di Dhaka, Bangladesh. - Bernama



BACK