Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

PEROLEHAN LEBIH RM1 BILION

Utusan Malaysia - KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan terbesar di negara ini apabila berjaya mencatatkan perolehan lebih RM1 bilion

20-05-2009

JOHOR BAHRU  - KPJ Healthcare Bhd. (KPJ Healthcare) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan terbesar di negara ini apabila berjaya mencatatkan perolehan lebih RM1 bilion bagi dua tahun kewangan berturut-turut.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, perolehan kumpulan meningkat 14.4 peratus kepada RM1.267 bilion bagi tahun kewangan 2008 berbanding RM1.108 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan pencapaian paling positif apabila buat pertama kali, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM100 juta iaitu RM114 juta, naik sebanyak 33.6 peratus daripada RM85.3 juta pada 2007.

Muhammad Ali berkata, kumpulan juga mencatat perolehan berjumlah RM338.7 juta, meningkat 11.16 peratus bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2009 berbanding RM304.7 juta, dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada keputusan cemerlang itu hasil kelebihan rangkaian hospital sebanyak 19 buah di seluruh negara yang memenuhi kehendak pelanggan untuk berdaya bersaing dalam industri.

"Dengan model perniagaan yang sudah terbukti dan kedudukan strategi yang tepat, kumpulan menjangkakan dapat bertahan dalam mengharungi kelembapan ekonomi pada hari ini.

"Strategi utama pada tahun ini dan seterusnya ialah untuk meningkatkan kemampuan kumpulan menerusi langkah berhemah dan menggunakan kreativiti dan inovasi dalam mengembangkan perniagaan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datin Siti Sa'adiah Sheikh Bakir.
Keputusan itu turut menyaksikan dana pemegang saham KPJ Healthcare meningkat kepada RM581 juta, bertambah 14.2 peratus daripada RM508.8 juta pada 2007.

Jumlah aset kumpulan turut meningkat kepada RM1.3 bilion pada tahun lalu daripada RM1.2 bilion pada 2007.
Sepanjang tahun 2008, jumlah pesakit luar KPJ Healthcare meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada 1,956,000 orang berbanding 1,734,00 pada tahun 2007 manakala jumlah pesakit didaftar masuk ke hospital (inpatient) turut bertambah 9.6 peratus kepada 196,000 pada tahun lalu.

Pada masa ini, KPJ Healthcare yang merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp.) mengendalikan 25 hospital yang mana 19 hospital terletak di negara ini manakala tiga lagi di Indonesia, dua di Jeddah, Arab Saudi dan satu di Dhaka, Bangladesh.

Ditanya tentang perancangan kumpulan, beliau berkata, KPJ Healthcare berhasrat meningkatkan pertumbuhan melalui pengambilan alih hospital-hospital persendirian pada masa depan.

Jelasnya, langkah itu dijangka akan memberi lebih peluang penggabungan dan pengambilalihan kepada kumpulan dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam sektor penjagaan swasta.

"Kumpulan juga merancang memperbesarkan organisasi menerusi projek pembangunan baru. Tiga tapak di Johor Bahru dan beberapa tempat di Lembah Klang, Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak telah dikenalpasti.

"Dengan perancangan ini, kumpulan yakin dapat mengembangkan jumlah rangkaian sedia ada, memperluaskan pengkalan pelanggan dan seterusnya menjadi penyedia perkhidmatan yang utama di Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai hasrat Nigeria yang berminat menjalin usaha sama dengan kumpulan itu, beliau berkata, tiada sebarang keputusan telah dibuat namun pihaknya akan mengkaji tawaran itu secara mendalam.

Katanya, kumpulan sentiasa mengalu-alukan pelawaan daripada mana-mana pihak di luar negara namun perlu mengambil langkah berhati-hati memandangkan keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu.



BACK