Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

KPJ HEALTHCARE BUKA 2 HOSPITAL SETAHUN

Pada masa ini, syarikat mengendalikan 26 hospital di Malaysia dan lima di luar negara, dengan tiga adalah milik KPJ Healthcare dan dua lagi diuruskannya.

28-10-2009

Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datin Paduka Siti Sa'diah Bakir berkata, syarikat sentiasa meninjau peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
''Pada waktu ini, hospital-hospital kami seperti Ampang Puteri dan Pusat Pakar Damansara terus berkembang maju dan kami berharap semua hospital di bawah pengurusan KPJ Healthcare akan terus maju.
''Selagi terdapat permintaan terhadap perkhidmatan kami, KPJ Healthcare akan terus melabur termasuk bagi mendapatkan peralatan berteknologi baru dan mengikut standard ditetapkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Akad Sumbangan Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) kepada Klinik Waqaf An-Nur Corporation Bhd. di sini baru-baru ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation serta Pengerusi Waqaf An- Nur, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr. Mohd Hashim Tajudin dan Pengarah Bahagian Farmaseutikal CCM, Leonard Arif Abdul Shatar.
Tambah Siti Sa'diah, buat masa ini KPJ Healthcare masih belum memuktamadkan lokasi pembinaan hospital baru tersebut dan beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih operasi hospital swasta sedia ada.
KPJ Healthcare merupakan anak syarikat Johor Corporation Bhd. (JCorp).
Sementara itu, Muhamad Ali berkata, KPJ Healthcare akan mengkaji semula kedudukan dua hospital yang diuruskannya di luar negara ekoran krisis ekonomi.
''Kami menguruskan dua hospital di luar negara iaitu di Arab Saudi dan Bangladesh. Keadaan ekonomi global yang tidak menentu menyebabkan KPJ Healthcare memikir semula kedudukan kami di kedua-dua negara itu.
''Kami akan memberi tumpuan kepada operasi kami di dalam negara berbanding di luar negara,'' katanya.
Terdahulu, CCM menyumbangkan produk-produk farmaseutikal halal bernilai RM100,000 kepada rangkaian klinik Waqaf An-Nur sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Usahasama ini juga, membolehkan CCM menggunakan rangkaian klinik Waqaf An-Nur sebagai saluran untuk menaja produk farmaseutikal halal menerusi kaunter.
Mengenai klinik Waqaf An-Nur, Muhamad Ali berkata, setakat ini klinik tersebut mempunyai lapan cawangan dan akan menambah tiga lagi menjelang akhir tahun.
''Pembukaan klinik ini lebih bermakna kerana sebilangan besar klinik-klinik ini dibuka di pekarangan masjid. Ia hanya dikenakan bayaran RM5 lengkap dengan ubat-ubatan.
''Klinik-klinik ini juga dilengkapi dengan pusat dialisis untuk mereka yang mempunyai masalah buah pinggang yang menerima subsidi kewangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Agama Islam Johor dan sebagainya,'' katanya.



BACK