Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

Kerajaan Johor terima peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta

Berita Harian, Thursday, July 29, 2010

29-07-2010

LEMBAGA Pengarah Johor Corporation (JCorp) menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat milik kerajaan Johor itu berkuat kuasa semalam, iaitu empat bulan sebelum kontrak beliau berakhir.
 
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Lembaga Pengarahnya semalam yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi JCorp.
Abdul Ghani dalam kenyataan mengumumkan keputusan itu berkata, dengan peletakan jawatan Muhammad Ali, Naib Presiden Kanan Kewangan dan Khidmat Korporat JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim akan memangku tanggungjawab dan tugas sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp.
 
“Bagi pihak kerajaan negeri, Ahli Lembaga Pengarah dan anggota pekerja Kumpulan JCorp, saya mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhammad Ali di atas khidmat bakti beliau selama ini,” katanya.
 
Beliau menegaskan, sepanjang tempoh 28 tahun menerajui JCorp, Muhammad Ali sudah banyak membawa pencapaian bagi kumpulan berkenaan.
 
Pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan JCorp 12 Julai lalu, Muhammad Ali mengesahkan sudah menghantar notis mengenai hasratnya untuk mengosongkan jawatannya dalam kumpulan itu menjelang akhir tahun ini.
 
Tokoh korporat berusia 63 tahun itu berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkannya memberikan tumpuan kepada keluarga selain berehat selepas hampir 30 tahun berkhidmat dengan JCorp.
 
Pada sidang media itu beliau turut mencadangkan nama lima individu yang dirasakannya berupaya mengisi jawatan yang dikosongkannya itu, iaitu Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Datin Paduka Siti Saadiah SH Bakir; Pengarah Urusan Kulim (M) Bhd, Ahamad Mohamad; Pengarah Urusan QSR Brands Bhd dan KFC Holdings (M) Bhd, Jamaludin Md Ali; Kamaruzzaman dan Pengarah Urusan Sindora Bhd, Rozan Mohd Saat.
 
Baru-baru ini juga, Muhammad Ali turut menangkis dakwaan bahawa JCorp akan bankrap sambil menegaskan yang nilai keseluruhan aset syarikat itu yang berjumlah RM12 bilion lebih daripada mencukupi untuk menampung jumlah tanggungannya sebanyak kira-kira RM7 bilion.
 
Susulan pengesahan yang dibuat Muhammad Ali itu, akhbar ini baru-baru turut melaporkan bahawa Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Ismee Ismail serta dua individu lain yang kini menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disebut-sebut sebagai calon yang akan menggantikan tempat beliau.
Dua yang lain ialah Pengarah Urusan UDA Holdings Bhd, Datuk Jaafar Abu Hassan serta Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Bhd, Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.
 
Muhammad Ali dilantik menerajui JCorp pada 1982 bagi menggantikan Tan Sri Basir Ismail.
 
 
 



BACK