Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

Hospital pakar RM30j dibina

Sebuah lagi hospital pakar milik KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bernilai RM30 juta akan dibina di Perlis untuk menerokai pasaran baru yang bukan sahaja melibatkan penduduk di negeri ini serta utara tanah

22-11-2011

KANGAR 21 Nov. - Sebuah lagi hospital pakar milik KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bernilai RM30 juta akan dibina di Perlis untuk menerokai pasaran baru yang bukan sahaja melibatkan penduduk di negeri ini serta utara tanah air, malah sehingga ke Thailand.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu memberitahu, hospital dinamakan sebagai Hospital Pakar Perlis itu dibina dalam dua fasa melibatkan kolaborasi antara KPJ iaitu anak syarikat Johor Corporation (JCorp) dengan Yayasan Islam Perlis (YIPs).

"Fasa pertama melibatkan kos RM30 juta bagi pembinaan hospital tujuh tingkat di atas tapak seluas 1.74 hektar di Pengkalan Asam, Mukim Seriab di sini dan dijangka siap pada 2013.

"Ia mempunyai kemudahan tiga bilik bedah termasuk unit penjagaan rapi (ICU), bilik bersalin, perkhidmatan fisioterapi, hemodialisis, kecemasan dan kemalangan serta perkhidmatan pesakit luar," kata beliau.

Md. Isa berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tapak pembinaan Hospital Pakar Perlis di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan KPJ, Datin Siti Sa'diah Sheikh Bakir; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.

Menurutnya, hospital itu dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk Perlis yang kini mencecah 246,634 orang selain pesakit dari negeri berhampiran seperti Kedah dan negara jiran kerana kedudukannya berhampiran pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.

Sementara itu Siti Sa'diah berkata, pada masa kini KPJ mempunyai 20 hospital pakar di seluruh negara manakala dua buah lagi di Indonesia. "Hospital-hospital ini memberi perkhidmatan kepada lebih dua juta pesakit luar dan 220,000 pesakit yang dimasukkan ke dalam wad setiap tahun," tambah beliau.

Kata beliau, KPJ mempunyai 800 pakar perubatan dan lebih 8,000 pekerja.



BACK