Latest News
Health Tourism in Malaysia Investor Research KPJ in the News KPJ 2013 Annual Report
Home > Corporate Profile
News

HANYA 1/10 WANITA BUAT PEMERIKSAAN MAMOGRAM

Utusan Malaysia -SHAH ALAM - Hanya seorang daripada 10 wanita di negara ini melakukan ujian mamografi atau pemeriksaan sendiri bagi mengesan barah payu dara.

09-04-2008

Hanya seorang daripada 10 wanita di negara ini melakukan ujian mamografi atau pemeriksaan sendiri bagi mengesan barah payu dara.

Pengerusi Yayasan Pink Ribbon Deeds (Pride), Datin Azrene Abdullah berkata, maklumat tersebut diperolehnya melalui tinjauan rambang yang dilakukan sendiri oleh beliau setiap kali menghadiri majlis yang membabitkan golongan wanita.

"Setiap kali saya hadir ke majlis yang membabitkan wanita, saya pasti akan bertanya adakah mereka telah melakukan ujian mamografi atau pemeriksaan sendiri payu dara.

"Tetapi sayangnya, daripada 10 orang, hanya seorang yang melakukannya," kata beliau ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Barah Payu Dara Pride 2008 di Pasar Raya Besar Giant, Seksyen 13 di sini semalam.

Kempen tersebut akan berlangsung pada 11 April hingga 2 Ogos depan di seluruh negara dengan membabitkan tiga penaja utama iaitu GCH Retail iaitu pemilik Pasar raya Giant, KPJ Healthcare Bhd. dan Caratino Sdn. Bhd.

Menurut Azrene, berdasarkan perangkaan, kadar wanita yang menghidap penyakit barah payu dara semakin meningkat dan sejak tahun 2004, daripada setiap 19 orang wanita, seorang daripadanya merupakan penghidap penyakit berbahaya itu.

"Kita tidak mempunyai statistik yang lengkap, namun berdasarkan catatan yang diperoleh daripada beberapa hospital, kadar penyakit barah payu dara menunjukkan peningkatan yang membimbangkan," katanya.

Tambah beliau, hampir 40 peratus wanita yang menyedari mereka menghidap penyakit barah payu dara sudah berada pada peringkat akhir dan harapan untuk sembuh adalah tipis.

Sehubungan itu, kata beliau, kempen yang dijalankan oleh Pride itu diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran golongan wanita terhadap penyakit berbahaya terbabit.

Katanya, antara program yang akan dijalankan ialah ceramah kesihatan, demonstrasi masakan sihat, pemeriksaan mamografi dan khidmat nasihat manakala pelakon, Azean Irdawaty akan menceritakan pengalamannya berdepan penyakit itu di beberapa lokasi terpilih.



BACK