Browse by:
All Year | 2023 | 2022 | 2021 | 2020 | 2019 |
All Categories | FERTILITY PRESERVATION (FP) | FROZEN EMBRYO TRANSFER (FET) | IVF | IVF IN VITRO FERTILISATION |
Slot mamogram percuma untuk golongan berpendapatan rendah di Johor: Saringan awal kanser payudara mengurangkan risiko kematian

JOHOR BARU: 27 September 2022 | Selasa – Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF) telah mengadakan pelancaran program Think Pink yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang kesihatan payudara dan kepentingan pengesanan awal kanser payudara. Pihak TLJCF yang turut dibantu Pasukan Sukarelawan Komuniti TLJCF serta ahli Cancer Support Group TLJCF akan mengadakan pameran kesedaran kanser payudara di beberapa lokasi berbeza seluruh Johor sepanjang bulan Oktober dan November ini bagi memberi pendedahan kepada orang awam khususnya wanita berkenaan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) yang perlu dilakukan sebulan sekali serta pemeriksaan mamogram yang boleh dilakukan setahun sekali bagi golongan berisiko.
Majlis Pelancaran Program Think Pink yang diadakan di KPJ Johor Specialist Hospital Johor Bahru telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor dan Yang Berhormat Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Mohd Ikmal Izam Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation, Ahmad Solihin Mohammed Yusoff, Timbalan Presiden, Sumber Manusia, Perolehan, Teknologi Maklumat dan Plan GA, Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd., dan Asmadi Mohd Bakri, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Wilayah Selatan 1, KPJ Healthcare Wilayah Selatan.
Menurut Mohd Ikmal Izam Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Malaysia National Cancer Registry Report telah melaporkan kadar peratusan jumlah kes kanser payudara tahap 3 dan 4 meningkat daripada 43.2 %, pada tahun 2007-2011 kepada 47.9% pada tahun 2012-2016. Justeru, objektif utama bagi program Think Pink ini adalah untuk memberikan kesedaran awam berkaitan kanser payudara serta kepentingan mengesan awal kanser payudara melalui pameran di beberapa lokasi sekitar Johor, hebahan menerusi media sosial, siaran radio dan papan iklan digital.
“Sebanyak 700 slot mamogram ditawarkan kepada wanita yang menetap di Johor dengan pendapatan isi rumah bawah RM 4,000 atau B40. Memandangkan slot mamogram yang ditawarkan terhad, keutamaan diberikan kepada wanita yang berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara dan berusia antara 40 hingga 70 tahun.” tambah Mohd Ikmal Izam Zaini.
Program Think Pink juga mendapat sokongan penuh daripada Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd selaku penaja utama program dengan nilai sumbangan RM 150,000.00. Yayasan Johor Corporation turut menyumbang RM 25,000.00 bagi slot pembedahan biopsi yang akan dilakukan sekiranya peserta mendapat keputusan mamogram yang tidak normal. Selain itu, KPJ Healthcare Wilayah Selatan turut menjadi rakan rasmi program Think Pink yang menawarkan servis pelaksanaan slot saringan mamogram.
Diharap program Think Pink ini dapat meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan kesihatan payudara dan saringan awal yang boleh dilakukan bagi mencegah kanser payudara. Walaupun saringan yang dilakukan tidak akan mengubah kemungkinan bahawa kanser itu hadir, saringan dilakukan untuk mengesan kanser di peringkat paling awal kerana ianya lebih mudah dirawat dan dapat mengurangkan risiko kematian.