KPJ News


KPJ edar bubur lambuk kepada beberapa agensi, hargai usaha kekang penularan COVID-19

08:31AM, 12 June, 2021


KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah berkongsi semangat amal Ramadhan dengan mengedarkan bubur lambuk kepada beberapa agensi sekitar sini bersesuaian tema "Semarak Sinar Ramadhan - Kongsi Bersama".

Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Sabah Mohamad Faizal Mohamed berkata antara agensi yang menerima bubur lambuk ialah Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1), Queen Elizabeth 2 (QEH2), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas (HWKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta Istana Negeri.

Tambahnya pihaknya juga turut mengedarkan bubur lambuk kepada pelanggan korporat, sekolah Tahfiz, klinik Pengamal Am,beberapa kedutaan dan Pusat Rawatan & Kesihatan Damai awal bulan ini.

“Aktiviti sempena bulan puasa yang juga sebahagian daripada aktiviti tahunan ini juga tidak melupakan golongan memerlukan dan KPJ Sabah juga turut mengedarkan barang keperluan, paket makanan segera serta duit Raya kepada keluarga yang kurang bernasib baik di Kingfisher, Likas dan Sembulan.

“Objektif usaha ini adalah untuk berkongsi kegembiraan "Buka Puasa" kepada semua penerima bubur lambuk dan bantuan kepada keluarga yang kurang bernasib baik serta kepada para perunding dan kakitangan KPJ Sabah.

“Ia dilihat sebagai cara menyebarkan muhibah pada bulan suci Islam selain memenuhi sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KPJ Sabah dan salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat pesakit dan memerangi penularan wabak COVOD-19,” katanya.

Menurutnya tahun ini KPJ Sabah bekerjasama dengan Sazarice Sdn Bhd, Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd dan Besta Corporation Sdn Bhd dalam aktiviti pengedaran bubur lambuk.

“Sebanyak 1,571 bubur lambuk dimasak oleh kakitangan hospital menggunakan resipi bubur Melayu, hidangan yang sangat digemari untuk buka puasa.

“Kakitangan hospital memulakan penyediaan memasak untuk bubur lambuk bermula jam 8.00 pagi diikuti dengan pembungkusan di sekitar jam 1.00 petang. Bekas kemudian diedarkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang,” katanya.

Tambahnya bubur lambuk dan bantuan kepada keluarga yang kurang mampu diagihkan oleh Pengurus Besar, Eksekutif Sumber Daya Manusia, pasukan Perhubungan Awam dan jawatankuasa penganjur projek KPJ Sabah dan ini adalah kejayaan besar KPJ Sabah bersama sokongan semua pihak.



https://www.utusanborneo.com.my/2021/05/12/kpj-edar-bubur-lambuk-kepada-beberapa-agensi-hargai-usaha-kekang-penularan-covid-19



Back News & Events