KPJ News


KPJ Puteri sumbang PPE dan limau sempena Tahun Baharu Cina

08:31AM, 11 February, 2021


KETUA Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Awam, Hospital Pakar KPJ Puteri, Norshikin Mohd. Salleh (kiri) menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang melakukan SJR di Johor Bahru, Johor.

  • Oleh KHAIRUL MOHD ALI
  • 11 Februari 2021, 12:27 pm

JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Puteri mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa peralatan perlindungan diri (PPE) dan limau sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Haliza Khalid berkata, meskipun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP), pihaknya tetap meraikan kedatangan hari perayaan itu secara bersederhana.

“Tradisi sambutan ini diteruskan namun masih mematuhi SOP yang ditetapkan, cuma tiada sambutan perayaan besar-besaran dilakukan tetapi sekadar meraikan dengan mengagihkan limau dan sup cendawan yang memang menjadi tradisi kami di KPJ Puteri.

“Selain menghargai pelanggan, doktor-doktor dan anggota pekerja, jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang menjaga keselamatan kita tidak dilupakan,” katanya dalam
satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Tambah Haliza, selain sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang membuat kawalan di sekatan jalan raya (SJR), pihaknya turut menghulurkan sumbangan kepada rumah penjagaan orang tua dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyuntik semangat perayaan.

“Sumbangan ini merupakan salah satu usaha KPJ membantu dalam menangani pandemik Covid-19. Ini juga adalah usaha berterusan KPJ dalam menghargai petugas barisan hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan hospital pakar berkenaan menawarkan kadar terendah bagi membuat saringan Covid-19 kepada orang awam dan pihak korporat.

“Walaupun terikat dengan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), operasi hospital berjalan seperti biasa selain turut menawarkan konsultasi atas talian ‘Tele-Consultation’ dan perkhidmatan penghantaran ubat ke rumah ‘Med-Delivery’,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/2021/02/kpj-puteri-sumbang-ppe-dan-limau-sempena-tahun-baharu-cina/



Back News & Events