• KPJ News


    Jangkitan Rotavirus

    06:40AM, 11 December, 2022


    uploaded pictureuploaded picture


    Kanak-kanak sering mengalami cirit-birit dan mungkin perkara itu dianggap biasa oleh segelintir individu. Hakikatnya, ia tidak boleh dipandang enteng kerana ada masalah cirit-birit yang boleh membawa maut. Ia kerana, cirit-birit berpunca daripada kuman Rotavirus yang boleh menyebabkan kekeringan cecair badan (dehidrasi). Artikel Berkaitan • Vaksin rotavirus melindungi • Menangani cirit-birit • Air tercemar najis • Rawat keracunan makanan Oleh itu, ibu bapa perlu peka dan mengambil tahu mengenai jangkitan Rotavirus ini.

    Tujuannya supaya tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan komplikasi daripada jangkitan berkenaan. Pakar Kanak-Kanak KPJ Pahang Specialist Hospital Dr Fazuliati Fauzi berkata, Rotavirus adalah virus paling biasa menyebabkan cirit-birit dan muntah teruk. Ia boleh menyebabkan kehilangan cecair badan yang banyak dalam kalangan kanak-kanak. Beliau berkata, terdapat sembilan spesies Rotavirus, namun Rotavirus A adalah spesies yang paling kerap ditemui menjangkiti manusia iaitu menyebabkan lebih 90 peratus jangkitan.

    "Rotavirus A juga dikenal pasti sebagai penyebab utama cirit-birit yang serius dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. "Selepas dijangkiti kuman Rotavirus, badan mengambil masa kira-kira dua hari untuk menunjukkan gejala penyakit, antaranya demam, cirit-birit, muntah dan sakit perut," katanya.

    Dr Fazuliati berkata, hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti kuman Rotavirus sebelum atau pada usia lima tahun. "Di Malaysia, kira-kira 22 hingga 50 peratus daripada kes cirit-birit dalam kalangan kanakkanak adalah disebabkan Rotavirus. "Ada satu kajian di Malaysia pada 2016 yang menunjukkan bahawa Rotavirus menyebabkan 27 kematian, kemasukan ke hospital (31,000), rawatan pesakit luar (41,000) dan awatan di rumah setiap tahun (145,000)," katanya.

    Menyentuh mengenai cara jangkitan Rotavirus tersebar beliau berkata, virus ini mudah berjangkit dan tersebar dengan mudah melalui kaedah tangan ke mulut (fecal to oral) iaitu virus merebak melalui penyebaran daripada najis individu dijangkiti ke mulut individu yang lain. "Sebagai contoh, seseorang menukar lampin bayi yang mengalami cirit-birit disebabkan Rotavirus dan dia tidak membasuh tangan dengan bersih lalu memegang peralatan, permukaan atau makanan. "Jika dia menyediakan makanan atau menyuap makanan kepada bayi atau individu lain, virus ini tersebar kepada mereka.

    "Begitu juga jika bayi, kanak-kanak atau individu lain menyentuh permukaan atau peralatan yang dicemari dengan kuman Rotavirus, selepas itu tangannya dimasukkan dalam mulut atau untuk makan, mereka akan dijangkiti virus berkenaan," katanya. Beliau berkata, virus ini stabil dalam persekitaran dan boleh berjangkit dalam masa seminggu. "Mereka yang mengendalikan najis bayi, kanakkanak atau individu dijangkiti Rotavirus perlu mencuci tangan dengan bersih. Manakala mainan kanak-kanak serta peralatan di sekitarnya perlu sentiasa bersih.

    "Antara gejala anak dijangkiti kuman Rotavirus ialah cirit-birit, muntah, sakit perut, demam dan kelesuan. "Simptom biasanya bermula dalam masa dua hari selepas seorang kanak-kanak terdedah kepada kuman. Biasanya, cirit-birit berlarutan selama tiga hingga lapan hari," katanya. Dr Fazuliati berkata, bahaya utama daripada jangkitan Rotavirus ialah dehidrasi iaitu kehilangan cecair badan akibat daripada cirit-birit dan muntah yang teruk berserta pengambilan makanan atau minuman yang kurang baik. Katanya lagi, dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang.

    Jika dehidrasi tidak dirawat, ia boleh membawa maut. "Gejala dehidrasi pada anak seperti kurang membuang air kecil atau lampin kering, mata cengkung, menangis tanpa air mata, bibir mulut dan lidah kering, mudah meragam, kulit kurang anjal, letih lesu dan ubun-ubun mencengkung ke dalam pada bayi kecil. "Tiada rawatan khusus dan antibiotik atau antiviral untuk membunuh kuman Rotavirus. "Rawatan lebih menjurus untuk memastikan pesakit mendapat air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi dan menggantikan garam galian yang hilang disebabkan cirit-birit dan muntah," katanya. Tambahnya, ibu bapa perlu memastikan memberi anak minum air mencukupi dan larutan rehidrasi oral (ORS) untuk tujuan mengelakkan dehidrasi.

    "Namun, sekiranya anak menunjukkan gejala dehidrasi, perlu segera membawanya ke hospital untuk rawatan selanjutnya. "Di Malaysia, jangkitan Rotavirus adalah punca cirit-birit yang utama menyebabkan kanak-kanak memerlukan rawatan di hospital dalam bentuk transfusi (memasukkan) air melalui saluran darah (intravena). "Kira-kira 25 hingga 50 peratus kes cirit-birit yang memerlukan kemasukan ke wad berpunca daripada jangkitan Rotavirus," katanya. Menurut Dr Fazuliati, cara untuk menangani jangkitan Rotavirus ialah membawa anak berjumpa doktor jika dia menunjukkan gejala ciritbirit dan muntah serta dehidrasi. "Seperti dinyatakan sebelum ini, tiada ubat khusus bagi merawat jangkitan. Namun, doktor boleh memberikan ubat untuk melegakan atau mengurangkan gejala.

    "Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan Rotavirus. Tumpuan utama adalah untuk mengelakkan dehidrasi. "Bagi bayi, teruskan penyusuan susu ibu atau formula seperti biasa. Larutan rehidrasi oral mungkin diperlukan. "Bagi kanak-kanak lebih besar, pastikan memberi cecair secukupnya daripada minuman atau makanan. Digalakkan juga memberi larutan rehidrasi oral. "Elakkan minuman bergas, jus epal, produk tenusu dan makanan bergula. Ini kerana ini mungkin membuat cirit-birit bertambah teruk," katanya. Untuk mencegah jangkitan Rotavirus, Dr Fazuliati berkata, amalan kebersihan diri yang baik ialah langkah pencegahan paling asas. "Mencuci tangan dengan kerap dan teliti adalah penting, terutama selepas menggunakan tandas, selepas menukar lampin bayi atau selepas membantu anak menggunakan tandas. "Permukaan perabot juga perlu dinyahjangkit secara berkala. Kaedah pencucian biasa tidak mencukupi.

    "Langkah terbaik adalah dengan menggunakan larutan peluntur (satu bahagian peluntur dicampur sembilan bahagian air) untuk menyahjangkit permukaan atau objek," katanya. Dr Fazuliati berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan vaksinasi Rotavirus sebagai satu strategi pencegahan terhadap jangkitan virus ini. "Di Malaysia, walaupun tidak terdapat dalam program imunisasi kebangsaan, tetapi vaksinasi terhadap jangkitan Rotavirus ini boleh didapati di klinik atau hospital swasta. "Vaksinasi Rotavirus adalah dalam bentuk cecair yang perlu diminum (oral vaksin), boleh diberi kepada bayi seawal umur enam minggu, dengan keseluruhan dua atau tiga dos mengikut jenis vaksin yang diberikan," katanya.

    Artikel penuh: https://www.hmetro.com.my/sihat/2022/12/913743/jangkitan-rotavirus



    Back News & Events