• KPJ News


    KPJ Healthcare Wilayah Selatan Tandatangani Mou dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia

    12:05AM, 26 February, 2023


    JOHOR BAHRU: 25 Februari 2023 | Sabtu – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”) melalui dua hospitalnya di Wilayah Selatan, Hospital Pakar KPJ Johor (“KPJ Johor“) Hospital Pakar KPJ Puteri (“KPJ Puteri”) dan Hospital Pakar KPJ Kluang (“KPJ Kluang”) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (“NCSM”) bagi menyediakan perkhidmatan saringan kanser kepada individu yang berpendapatan kurang dari RM5,000.00 sebulan yang menetap di negeri Johor.


    MoU tersebut, yang akan berlangsung selama setahun, telah ditandatangani oleh Mohd Azhar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah Selatan, yang mewakili ketiga-tiga buah Hospital KPJ, dan Dr. Dalilah Kamaruddin, Ketua Jabatan Klinik Saringan Kesihatan dan Kanser, NCSM. Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan saringan kanser untuk tahun ini. Majlis ini telah disaksikan oleh Norhaizam Mohammad, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad.


    Menurut Norhaizam‚ “Kami sememangnya mengalu-alukan jalinan kerjasama yang berterusan dengan NCSM yang membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan bantuan yang mereka perlukan. Perjanjian ini telah dimeterai sejak lima tahun yang lalu antara hospital kami dan NCSM, dan oleh kerana prestasi perkhidmatan kami yang memuaskan, NCSM sekali lagi menjalinkan kerjasama bersama KPJ. Sehingga kini, lebih 2,000 wanita telah disaring melalui program-program yang telah dianjurkan di hospital KPJ Wilayah Selatan.“


    Dr. Dalilah berkata, “Kami di NCSM tidak pernah berhenti membantu. Matlamat kami di NCSM adalah untuk terus menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan dan sokongan untuk pesakit kanser dan penjaga di Malaysia. Bagi kempen saringan kanser pada tahun ini, kami menyediakan saringan mammogram kepada 4,500 wanita yang berkelayakan di seluruh negara yang berumur 40 tahun ke atas.“


    uploaded picture


    Bertempat di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, majlis tersebut dianjurkan bersempena dengan sambutan Bulan Kesedaran Kanser, dan juga Hari Wanita Sedunia yang akan datang. Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser dan kepentingan pengesanan awal, perbincangan forum wanita yang berfokus kepada kanser serviks turut berlangsung dengan barisan panel jemputan yang terdiri daripada Doktor Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pakar Onkologi, dan Pakar Psikiatri dari KPJ Johor, KPJ Puteri, KPJ Pasir Gudang, KPJ Bandar Dato‘ Onn dan KPJ Kluang.


    KPJ Wilayah Selatan juga telah memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser. Sebelum ini, KPJ Healthcare di Wilayah Selatan juga menyediakan saringan mammogram percuma melalui jalinan kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (“LPPKN”) dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (“YTLJ”) kepada mereka yang kurang berkemampuan.


    uploaded picture



    Back News & Events