• KPJ News


    Basket of Hope untuk rumah anak yatim dan kakitangan pesara KPJ

    08:31AM, 23 December, 2020


    KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah menghulurkan bantuan di rumah-rumah anak yatim dan juga pesara kakitangan KPJ Sabah melalui projek Basket of Hope.


    Projek Basket of Hope yang diusulkan oleh pengurusan Hospital Pakar KPJ Sabah dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi KPJ Sabah bertujuan menyebarkan kasih sayang dan harapan dengan memberikan bantuan melalui pemberian barang keperluan kepada mereka yang memerlukan sekali gus membawa kegembiraan dan kedamaian sempena perayaan Krismas.


    Menurut satu kenyataan baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Sabah Miranda Harumal berkata, projek berkenaan adalah yang pertama kali dianjurkan oleh KPJ Sabah.


    Katanya, sumbangan berkenaan adalah daripada perunding dan kakitangan KPJ Sabah menerusi derma berupa wang tunai untuk membeli barang keperluan bagi rumah anak yatim terpilih dan kakitangan pesara KPJ Sabah (tahun 2020) dalam tempoh wabak COVID-19 yang mencabar ini serta membawa kegembiraan untuk sambutan Krismas yang mendatang.


    Sumbangan projek Basket of Hope diwakili oleh Naib Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi KPJ Sabah Joanne Bernadette John, bersama beberapa ahli kelab yang merangkumi 10 buah rumah anak yatim seperti Rumah Amal Kasih Kingfisher, Rumah Muinah Inanam, Rumah Anak Yatim dan Miskin, Sri Pritchard Papar, Rumah Kanak-kanak Beringgis Papar, Stella Maris Tg Aru, Kediaman Keluarga Suci, Merawat Masa Depan Papar, Asnaf As Sakinah Papar dan Rumah Bakti Hope Inanam.


    Sementara itu, sumbangan untuk pesara KPJ Sabah termasuk Lily Chong dan Awang Rajit.


    Barang keperluan yang disumbangkan termasuk hamper, gula, beras, biskut, tepung, sabun, vitamin dan bekalan ubat-ubatan serta pembersih tangan.


    Sumbangan berkenaan juga diharap dapat meringankan beban dan memberi harapan kepada para penerima sepanjang tempoh yang mencabar ini.



    Back News & Events