• KPJ News


    KPJ Sabah sedia perkhidmatan fisioterapi pemulihan strok

    03:23PM, 04 March, 2023


    KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah menyediakan perkhidmatan fisioterapi pemulihan strok dan mempunyai perjanjian kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menyediakan rehabilitasi penyakit tersebut.


    KPJ Sabah mempunyai pasukan berkelayakan, mahir dan berpengalaman yang dapat memenuhi keperluan secara individu dan pesakit memerlukan penjagaan rumit.


    Menurut kenyataan KPJ Sabah, setiap pesakit akan dinilai secara individu menggunakan peralatan yang diiktiraf antarabangsa, diuruskan secara bersama dan membuat pemeriksaan secara berkala.


    “KPJ Sabah mempunyai pasukan rehab strok terdiri doktor penjagaan primer, psikiatri, ahli neurologi dan pakar dalam perubatan fizikal.


    “Selain itu, mempunyai jururawat, pakar diet, ahli terapi fizikal, ahli terapi pekerjaan, terapi ucapan dan Pekerja Sosial dan Kaunselor Vokasional,” katanya.


    Katanya, proses rehabilitasi strok adalah proses yang progresif, dinamik, berorientasikan matlamat bertujuan untuk membolehkan pesakit mencapai tahap fungsi fizikal, kognitif, emosi, komunikasi dan sosial yang optimum.


    “Rehabilitasi membantu pesakit dengan kemahiran yang hilang apabila sebahagian daripada otak mengalami kerosakan.


    “Walaupun pemulihan tidak membaiki sepenuhnya kerosakan otak, namun ia dapat membantu pesakit strok mencapai keputusan jangka panjang yang terbaik,” katanya.


    Menurutnya, terapi pemulihan biasanya bermula di hospital apabila keadaan telah stabil, selalunya dalam tempoh 22-48 jam selepas strok berlaku.


    “Semakin cepat pesakit memulakan rehabilitasi strok, semakin besar kemungkinan mereka akan mendapatkan kembali kebolehan dan kemahiran yang hilang,” katanya.


    - UTUSAN BORNEO



    Back News & Events